Saturday, March 22, 2014

Matlamat

As salam semua.

Setiap orang mempunyai matlamat dalam hidup mereka. Setiap perkara yang dirancang mesti disertakan dengan matlamat. Meletakkan matlamat dan berusaha mencapai matlamat merupakan satu perkara yang penting dalam hidup seseorang. Adakalanya seseorang itu sedar tentang perlunya meletakkan matlamat tetapi banyak kalanya terlupa untuk meletakkan matlamat. Apabila lupa meletakkan matlamat maka perkerjaan atau aktiviti yang dilakukan itu bergerak atas landasan yang kurang jelas. Misalnya, seseorang itu bermain dalam satu pertandingan bola sepak. Sebelum perlawanan, pasukan meletakkan sasaran untuk menang tanpa meletakkan jumlah jaringan gol yang perlu dijaringkan. Maka, pasukan itu bermain untuk menang tanpa mengira jumlah jaringan gol yang perlu dijaringkan. Selepas, mendahului pasukan lawan dengan jumlah satu jaringan gol maka pemain-pemain dalam pasukan berasa puas hati dan tidak bermain dengan bersungguh-sungguh. Pasukan lawan yang ketinggalan satu gol berusaha untuk menjaringkan dua gol dan mereka berjaya menjaringkan dua gol. Kesannya, pasukan yang bermain untuk menang dan telah mendahului dengan jaringan satu kosong berasa puashati kerana matlamat awalnya telah tercapai. Tetapi motivasi pemain-pemainnya telah menurun kerana matlamat yang diletakkan itu kurang jelas dan mantap. Sebaliknya pasukan yang ketinggalan telah meletakkan matlamat yang lebih jelas dan mantap telah menggerakkan pasukan dengan bermain dengan bersungguh-sungguh dan menambah motivasi diri. 

Persoalan meletakkan matlamat dan berusaha untuk mencapai matlamat serta meningkatkan motivasi diri merupakan usaha seseorang dalam membantu diri mereka sendiri untuk mencapai kejayaan. Semasa, Siti Nadiah berada di tingkatan empat Sek Men. Keb. Agama Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan pencapaiannya dalam peperiksaan adalah dalam kategori memuaskan. Maka, sebagai seorang bapa yang berhasrat untuk membantu, satu cara yang saya lakukan ialah dengan memberitahu Siti Nadiaah supaya meletakkan sasaran menjadi 20 pelajar terbaik dalam tingkatan. Alhamdulillah strategi ini menjadi di mana Siti Nadiah telah berpindah dari kelas yang kedua kepada kelas yaang pertama walaupun Siti Nadiah tidak berjaya menjadi 20 pelajar terbaik dalam tingkatan empat. Menduduki kelas yang pertama merupakan pencapaian yang baik. Secara umumnya, Siti Nadiah telah berjaya menaikkan semangat dan motivasi diri sendiri dalam mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan. Mengapa penting menduduki kelas yang pertama? Persoalan ini merupakan perkara pokok dalam mencapai kejayaan. Menduduki kelas perta secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi diri. Umumnya, persepsi orang, pelajar dalam kelas pertama lebih berpotensi untuk mencapai lebih kejayaan berbanding dengan kelas yang kedua. Begitulah seterusnya.

Kesimpualannya, untuk berjaya dalam sesuatu perkara yang kita lakukan, penetapan matlamat yang lebih jelas dan mantap adalah satu perkara yang sangat perlu dan penting. Dalam amalan kaunseling, salah satu teori yang diaplikasikan ialah Teori Realiti yang dipelopori oleh William Glasser (jika tidak silap). Teori ini mengutarakan pandangan bahawa seseorang manusia pernah mencapai kejayaan atau keputusan yang cemerlang dalam perkara atau aktiviti yang pernah dilakukan. Setiap kecemerlangan itu didahului dengan gerak kerja yang tertentu. Maka, jika seseorang itu gagal atau tidak berjaya dalam melakukan sesuatu perkara, sila lihat kembali perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan atau strategi yang pernah dilakukan yang membawa dia kepada kejayaan pada suatu masa dahulu. Dalam hal yang berkaitan dengan Siti Nadiah, saya memberitahu dia supaya mengimbas kembali perkara yang lalu dan sasarkan pencapaian sebagai 50 pelajar terbaik dalam bidang pengajian yang diikuti sekarang. Siti Nadiah merupakan pelajar perubatan yang sangat komited kepada bidang pengajian yang diikuti sekarang. Diharapkan penetapan ini akan mendorong Siti Nadiah belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan berusaha dengan lebih dengan kadaran peningkatan usaha sebanyak 25%. Insya Allah berjaya. Mulai April 2014, Sti Nadiah akan bergelar pelajar perubatan tahun tiga pula selepas berjaya dalam peperiksaan akhir tahun dua pada 17-19 Mac 2014 dan diumumkan berjaya dan LULUS pada 21 Mac 2014 yang lalu. Amin.   

No comments: