Wednesday, December 28, 2011

Deria Ibu

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah s.w.t

1. Tahun 2011, semakin sampai ke penghujung.
2. Maka azam baru mula menjengah, mula diintai dan akan dlafazkan.
3. Umur semakin meningkat, yang muda meningkat lagi umurnya, yang berusia mula mengira umur yang akan datang. Semua mula mengira hari dan menghitung bulan.
4. Bagi kakitangan kerajaan, umur persaraan telah dianjak dari 55 ke 56 ke 58 dan kini ke 60 tahun. Bagaimana kalian pekerja swasta?
5. Apa kena mengena dengan cerita deria ibu?
6. Bila umur semakin meningkat maka anak-anak mula pandai berkata-kata, mengingat kembali segala kata-kata ibu, mengingat kembali peristiwa demi peristiwa yang ada wajah ibu dan mula membanyangkan jika ibu tidak berkata atau meluahkan sesuatu. Mungkin indah dan manis.
7. Ibu mula dihakimi dan dihujani dengan pelbagai hujah dan tujahan, maka dicari segala resepi dan aduanan untuk menilai apakah ibu patut dan tidak patut melakukan. Anak-anak semakin dewasa.
8. Anak-anak belajar tinggi, pengalamannya banyak berbanding ibu yang tidak belajar tinggi dan tidak mempunyai pengalaman dengan alam dewasa sekarang. Pengalaman ibu hanya pengalaman hidup di zaman 70an dan 80 an atau mungkin 90an. Anak-anak hidup di zaman abad ke 20. Tentunya semua berbeza. Maka pandangan itu berbeza dari kacamata anak dan ibu.
9. Ibu membesarkan anak-anak pada zaman 80 an dan 90 an, pada masa itu perkataan siber tidak muncul dalam kamus masyarakat Melayu Islam. Perkataan yang muncul ialah cemerlang, pandai, wajib, harus, makruh, batal, haram dan lain-lain lagi. Perkataan canggih canggih tak ada lagi.
10. Namun begitu, ibu tetap ibu. Ibu punya deria yang hebat dan kehebatan itu mengajar kita menjadi dewasa. Jangan disesali apa yang kita ada sekarang kerana itu semua bukan kerana ibu tetapi Allah yang mengkehendakinya perkara itu berlaku. Berlakunya sesuatu bukan kerana ibu tetapi berlakunya sesuatu itu kerana Izin Allah s.w.t.
11. Kasihi Ibu, bukan kerana ibu itu ibu tetapi kerana perintah Allah.

Salam.

Friday, December 16, 2011

Disember 25

Disember 25

Anak-anak semakin dewasa dan masing-masing mempunyai pola dan corak pemikiran yang diadun daripada proses pembelajaran yang diterima dari guru pertama mereka iaitu ibu dan bapa, rakan sebaya, guru-guru di sekolah tadika, rendah, menengah, pra universiti dan universiti. Kesemua adunan itu digarap menjadi pengalaman. Pengalaman yang diperolehi mematangkan kehidupan mereka.

Tanggal Disember 25, kami sekeluarga telah membuat perancangan untuk ke Port Dickson. Matlamat dan tujuan adalah untuk mengwujudkan suasana keluarga yang harmonis dan perpaduan dalam kalangan ahli keluarga. Sepanjang tahun, setiap ahli keluarga mempunyai tanggungjawab yang berbeza dan kadar berada di rumah bertemu adik beradik adalah rendah.

Maka, usaha ini perlu dimanafaatkan, kelak ia menjadi rutin anak-anak di masa akan datang.

Anak,
Wajahmu ceria dan gembira
Tawa, senyum dan tangis
Menghiasi hidup ibu dan bapa

Tatkala dewasa,
Wajahmu masih ceria dan gembira
Tawa, senyum dan tangis masih ada
Tetap menghiasi hidup ibu dan bapa.

Tapi,
Anak-anak
Yang tiada
Hadirmu jua
Ke mana dan di mana
Perlu wang untuk perjalanan menemui ibu dan bapa

Tapi
Teknologi sedia membantu
Kalian anak-anak yang baik
Jangan disalahguna teknologi untuk teman
Gunakan teknologi untuk hiasi hidup ibu dan bapa.

Monday, December 12, 2011

Disember 2011

As-salam.

1. Disember telah muncul kembali.

2. Pertama, pada bulan Disember inilah, saya mula melayari kehidupan berkeluarga pada tanggal 25.12.1987 bersamaan hari Jumaat.

3. Setiap bulan Disember, anak-anak yang menduduki peperiksaan PMR akan mengetahui keputusan peperiksaan mereka dan yang mengambil  SPM akan mula bercuti, sehingga keputusannya di umumkan nanti. Ada berita sedih dan ada berita gembira.

4. Sejak dari tahun 2003, sewaktu Muhammad Mu'adz mengambil peperiksaan PMR, Bulan Disember sentiasa dihanti dengan penuh debaraan bagi kami sekeluarga.

5. Pada tahun 2005, Disember yang bermakna kepada Muhammad Fuad kerana menunggu keputusan PMR dan Muhammad Muadz baru selesai menduduki peperiksaan SPM.

6. Pada tahun 2007, Disember yang bermakna kepada Muhammad Na'im kerana giliran dia pula menunggu keputusan PMR, dan Muhammad Fuad pula menduduki peperiksaan SPM.

7. Pada tahun 2008, Disember yang bermakna kepada Siti Nadiah kerana menunggu keputusan PMR.

8. Pada tahun 2009, Disember yang bermakna kepada Muhammad Fahmi kerana giliran dia pula menunggu keputusan PMR dan Muhammad Naim menduduki peperiksaan SPM.

9. Pada tahun 2010, Disember yang bermakna kepada Siti Nadiah kerana menduduki peperiksaan SPM.

10. Pada tahun 2011, Disember yang bermakna kepada Muhammad Fahmi, menduduki peperiksaan SPM dan menamatkan pusingan keluarga saya menduduki peperiksaan SPM.

11. Namun begitu, debaran Disember juga dirasai oleh keluarga yang lain tetapi tempoh debaran mereka adalah berbeza. Setengah daripada mereka memikirkan masalah kewangan untuk membiayai perbelanjaan anak-anak untuk memulakan sesi persekolah pada tahun berikutnya.

12.  Itulah resam kehidupan mereka yang berkeluarga dan mempunyai cahaya mata yang mula bersekolah dan yang telah bersekolah. Detika Disember sentiasa menanti dengan berita gembira atau sebaliknya.

13. Pada tahun ini, Disember membawa berita kepada semua penjawat awam. namun berita itu perlu diawasi dan diteliti terlebih dahulu. Berita mengenai Skim Perkhidmatan Kakitanga Awam yang baru telah diumumkan pada 10 Disember 2011. Ada yang mengaitkan dengan isu kenaikan gaji dan ganjaran tetapi CUAPECS berharap semua penjawat awam berhati-hati membaca dan meneliti opsyen yang diberikan terutama kepada umur pesaraan yang dilanjutkan kepada 60 tahun. Tarikh kuatkuasa skim baru tersebut ialah pada 1.1.2012.

14. Disember 2011, Siti Nadiah dan Muhammad Fahmi mula belajar memegang stereng kereta. Mereka anak-anak yang berani dan berwawasan. Semoga mereka berjaya menjadi pemandu yang berhemah dan lulus ujian undang-undang yang bakal diduduki nanti. Siti Nadiah telah menghadiri kursus KPP pada hari Khamis yang lalu dan akan menduduki ujian undang-undang pada 15.12.2011 bersamaan hari Khamis.

15. Esok, hari Selasa (13.12.11) Muhammad Fahmi akan menduduki peperiksaan SPM bagi subjek Al Quran dan Sunnah. Paper yang terakhir. Semoga Fahmi sukses dalam exam itu. Amin.

Sunday, November 27, 2011

Anak-anak

Alhamdulillah, Apa Khabar semua?

1. Hari ini merupakan hari pertama dalam tahun hijrah 1433H iaitu hari Ahad, InsyaAllah esok cuti umum.

2. Mana-mana tempat kita pergi akan kedengaran persoalan pokok mengenai hijrah Rasulullah s.a.w iaitu mengapa dan kenapa baginda berhijrah. Labih manis lagi hijrah dikaitkan dengan meninggalkan keburukan dan bergerak ke arah kebaikan. meninggalkan maksiat dan melakukan kebaikan.

3. Tetapi hari ini, persoalan mengenai kebajikan ibu bapa yang telah tua sering dipaparkan dan dimuatkan dalam dada-dada akhbar. Apa persoalan itu? Iaitu kesibukan anak-anak menghalang mereka daripada berbakti kepada kedua ibu bapa mereka yang telah uzur. Apabila ibu bapa yang telah uzur maka kehidupan mereka perlu dipandu dan dibimbing. Masalahnya anak-anak tidak ada ruang masa untuk memandu dan memimbing kedua-dua ibu bapa mereka.

4. Kesibukan mereka antaranya sibuk dengan hal anak-anak mereka. Pada hal mereka ialah anak kepada ibubapa mereka. Suatu masa dulu ibubapa mereka sibuk menguruskan hal mereka tetapi kini mereka pula sibuk mengurus hal anak-anak mereka.

5. Jika itulah keadaannya, adakah mereka sedar bahawa peristiwa yang menimpa ibu bapa mereka akan juga menimpa mereka apabila mereka tua kelak. Di mana anak-anak mereka sekarang, pada masa akan datang akan menjadi ibu bapa dan mereka juga akan sibuk dengan anak-anak mereka juga.

6. Wahai adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang, jika kita tidak mahu menerima nasib seperti ayah dan ibu-ibu kita yang dipinggirkan oleh anak-anak mereka kerana kesibukan mengurus anak-anak mereka dan isteri-isteri mereka atau pekerjaan mereka mahupun harta-harta mereka MAKA marilah kita sama-sama berubah dengan mengambil berat tentang keperluan kedua ibu bapa kita.

7. Mari kita sama-sama berhijrah  daripada tidak mengambil kisah mengenai kehidupan mereka atau mengutamakan urusan ibu bapa kita dahulu sebelum mengutamakan hal-hal yang lain. Memang ibu bapa mempunyai anak-anak yang ramai tetapi jarang yang berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada mereka.

8. Santuni kedua ibu bapa kita kerana kita anak-anak yang mereka jaga, dan mereka banggakan. Jangan biarkan mereka hampa.

9. Berhijrah dan terus berhijrah.

Wednesday, November 23, 2011

Tahun Ke-49

Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana telah memberi peluang kepada hambaNya menghirup udara bersih di muka bumi ini.

2. Tidak pernah menduga dan menyangka, pada tanggal 21 Nov 2011, begitu banyak ucapan hari lahir yang diterima daripada anak-anak, rakan-rakan dan pelajar-pelajar UiTM yang memperuntukan masa untuk mencurah dan mencatatkan pelbagai ucapan. Terima kasih semua.

3. Apa jasa saya untuk dikenang? ATAU Apa kebaikan yang telah saya lakukan untuk dikenang? ATAU Apa nasihat yang telah diberikan sehingga menjadi ingatan dan dikenang?

4. Persoalannya perlukan semua itu, untuk menjadikan sebab untuk kita dikenang oleh orang lain?

5. Sukar untuk dijawab pada masa ini.

Wednesday, November 9, 2011

Cuti Pertengahan Semester

1. As salam.

2. Cuti pertengahan semester bagi sesi Sept 2011- Jan 2012 dalam perjalanan dan akan berakhir pada 13 November 2011. Kuliah seterusnya bermula pada 14 Nov 2011.

3. Saya mengambil kesempatan ini menanda tugasan pelajar yang telah saya terima bagi kod kursus RMD 577 dan INC 603. Setiap kali membaca tugasan pelajar, saya jarang menemui jawapan atau tugasan yang outstanding. Kebanyakannya jawapan yang diberi hanya bersifat untuk mendapat markah yang cukup makan malah ada yang tidak menepati langsung format yang telah diberikan. Jika menanda 100 helai tugasan pelajar, hanya 10% yang menerima markah 75 % dan ke atas. Selebihnya hanya menyiapkan tugasan dan dapat markah cukup makan iaitu di antara 50% - 60% sahaja. Itulah mentaliti pelajar, agaknya.

4. Dalam masa yang sama saya juga mengikuti perbincangan atau perbahasan dalam email UiTM mengenai tempat parkir kenderaan pelajar dan pensyarah. Rungutan pensyarah, pelajar sudah berani mengambil tempat parkir kenderaan pensyarah dan berani merosakkan palang bagi ke tempat parkir kenderaan pensyarah. Akibat kurangnya tempat parkir kenderaan dalam kampus UiTM Shah Alam.

5. Moral yang saya faham dari perbincangan tersebut, saya dapati pelajar sudah mampu mempertikaikan hak-hak mereka sebagai pelajar dan ada yang menyokong kononnya hak sebagai pelanggan UiTM. Masih ada staf UiTM yang mengiktiraf PELAJAR sebagai pelanggan UiTM tetapi mereka terlupa definisi PELANGGAN menurut kamus KUALITI UiTM Shah Alam. Bercakap tanpa ilmu dan pengetahuan yang mantap dan jelas. Itulah sifat dan mentaliti INDIVIDU MELAYU. Baik yang pandai, bijak dan cerdik.

6. Moral dari cerita di atas, orang-orang Melayu sering mahu hidup senang tanpa berusaha dan mereka sering mencari kesenangan dengan cepat tanpa mahu bersusah payah walaupun menuntut ilmu. Pelajar datang ke UiTM atau sekolah adalah untuk menuntut ILMU. Bagaimana ADAB menuntut ILMU. Menuntut ILMU, mesti menghormati ILMU, menghormati GURU, menghormati MASA, menghormati SEKOLAH dan menghargai SEMUANYA. Adakah PELAJAR kita menghormati semua perkara di atas.

7. Wassalam

Sunday, November 6, 2011

Idul Adha

Syukur,

1. Idul Adha telah selamat disambut pada hari ini Ahad, 6 November 2011. Kami sekeluarga menyambut kedatangan Idul Adha dengan mengerjakan solat sunat Idul Adha di Masjid Batu Belah. Kelang. Seusai solat kami balik ke rumah untuk membuat persiapan untuk ke tempah penyembilihan lembu korban.

2. Alhamdulillah, pada tahun ini kami sekeluarga dapat membuat korban dengan dua bahagian lembu atas nama Siti Nadiah dan Muhammad Fahmi. Bahagian yang lain, dua atas nama bapa dan emak mertua, dua bahagian Kak Ipah dan Abang Din, Satu Bahagian Atas nama Keluarga Baie. Rasanya ada satu bahagian atas nama Mohd. Radhi tetapi mungkin betul. Mungkin Bapa dan emak atau Kak Ipah dan Abang Din satu bahagian sahaja. Tetapi yang penting, semuanya telah selesai dan berjaya.

3. Sebelah malam, kami sekeluarga, menjamu selera di Pizza Hut, Setia Alam. Makan keluarga namanya. Namun begitu, semalam pun kami makan kek di rumah emak di Shah Alam. Masa itu, sempena malam Idul Adha, kami juga meraikan majlis sambutan hari ulang tahun ke 23, tapi terawal dua hari. Hari lahir Muhammad Mu'adz ialah pada 7 Nov. 2011. Pada malam itu, yang hadir ialah Pak Teh sekeluarga dan Mak Unggal Sekeluarga termasuk Fadli.

4. Semoga ukhwah anak beranak dan adik beradik dapat dibina dalam keluarga ini. Insya Allah.

Wednesday, November 2, 2011

Hujan dan Rahmat

1. As salam,

2. Hujan turun setiap hari dan cuaca gelap sentiasa menaungi bumi. Begitulah hujan yang dijadikan Allah untuk mencuci muka bumi.

3. Beberapa hari yang lepas, hujan turun dengan lebat pada waktu petang sehingga ramai staf yang balik lewat kerana tidak sanggup meredah hujan untuk sampai ke kereta. Saya bercadang nak balik awal pada hari tersebut. Bila sampai ke bawah (lobby), saya dapati hujan masih belum turun dengan lebat. Tetapi tempat di mana saya parking kereta dipenuhi dengan motor para pelajar. Kebetulan di bahagian depan dan belakang kereta saya ada motor pelajar. Dalam keadaan hujan saya tidak mampu mengalihkan sebarang motor pelajar jika motor-motor menghalang kereta saya untuk keluar. Lalu, saya membatalkan niat saya untuk pulang walaupun waktu tersebut sudah pukul 5.30 petang. Saya pun naik semula tetapi tidak balik ke bilik sebaliknya terus ke surau untuk sembayang asar. Kemudian ke bilik En. Kamal. Akhirnya sampai ke rumah pada jam 7.10 mlm.

4. Hari ini, suasana murum masih berterusan. Tetapi hujan tidak lebat tetapi mendung. Saya dah bercadang untuk balik awal. Saya punch card pada pukul 5.15ptg. Malangnya niat untuk balik awal masih belum tertunai. Sebaik sahaja keluar dari bilik dan menutup pintu bilik, baru saya perasan kunci bilik dan kunci kereta tertinggal di dalam bilik. Nampaknya kena cari Pn. Nora pulak untuk dapatkan kunci pendua. Tertangguh lagi nak balik awal. Alhamdulillah, sampai ke bilik Pn. Nora, beliau masih belum balik dan ada di pejabatnya. Pn. Nora merupakan juruteknik kanan di FSSR. Ambil saja kunci pendua, terus naik ke tingkat empat dan masuk ke bilik dan dapatkan kunci bilik dan kunci kereta. Alhamdulillah, berjaya. Kembalikan kunci pendua dan terus balik.

5. Apa hikmah di sebalik peristiwa yang berlaku, gara-gara hujan dan mengelak dari hujan. Allah yang maha mengetahui.

6. Saya telah buat keputusan untuk menghadirikan diri ke koferansi yang diadakan di Uni. Malaysia Sabah pada pertengahan bulan Disember 2011. tapi kena siapkan kertas kerja penuh untuk dihantar sebelum 15 Nov. 2011 berserta bayaran yuran sebanyak RM200. Tadi tanya Pn. Siti Aida, bayaran yuran dan penginapan boleh claim dari fakulti tetapi tiket kapal terbang kena minta kelulusan daripada VC dulu. Jika munasabah dapatlah jika tidak tanggung sendiri. Kos penginapan ialah RM 160 semalam berdasarkan gred gaji DM 52.

7. Cuaca mendung tetapi suasana cerah.

Sunday, October 30, 2011

Peperiksaan SPM

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah s.w.t di atas limpah kurniaNya kepada kita semua.

Hari ini, semasa menghantar Fahmi ke asrama SMKA Kuala Selangor. Saya ada mengingatkan dia tentang bilangan hari yang mendatang sebelum SPM dan bilangan kali ke SMKA Kuala Selangor. Mulai minggu depan, jumlah hari persekolahan adalah lima hari sebelum bercuti sempena cuti hari raya Aidil Adha dan kembali semula  ke sekolah pada hari selasa minggu berikutnya sebelum peperiksaan SPM bermula pada 14 Nov. 2011.

Itulah resam hidup. Bertemu dan berpisah. Sebenarnya saya telah meninggalkan bumi SMKA Kuala Selangor  pada tahun 1996 ketika itu bertugas sebagai guru dan kaunselor pelajar di sana. Mulai tahun 1997, bertugas sebagai Kaunselor Pelajar di SMK Seksyen 19, Shah Alam. Pengalaman bertugas di SMKA Kuala Selangor memang menarik dan manis. Tapi hayatnya tidak panjang. Tetapi, apabila Fahmi belajar di sana, peluang untuk mengintai memori lama sememangnya ada. namun hayatnya juga tidak lama hanya setahun sahaja.

Walaupun Fahmi belajar di SMKA Kuala Selangor hanya setahun, namun dia berjaya menyesuaikan diri dengan suasana sekolah baru. Alhamdulillah, semoga Fahmi berjaya melalui kehidupannya di sana dengan baik dan seterusnya menduduki peperiksaan SPM dengan tenang dan yakin. Keputusan peperiksaan SPM, insyaallah baik dan mendapat keputuan jayid jiddan.

Amin. 

Saturday, October 29, 2011

Canada

Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t yang menentukan tebaran perjalanan hidup hambaNYA di muka bumi.

Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang maha berkuasa. Manusia tidak mampu menentukan perjalanan hidupnya sendiri. Namun, manusia sentiasa bermohon kepada Allah untuk merealisasikan perjalanan hidupnya seperti yang dirancangkan.

Canada merupakan destani yang akan dicabari. Selama dua minggu, Ali akan berada di bumi Ottawa, Canada untuk mempelajari hal ehwal mengenai bom dari sudut forensik. Semoga cabaran dan cubaan di tempat orang akan dapat dilalui dengan jayanya.

Kira-kira, jam 10.30 mlm ini, Ali berlepas ke Korea dahulu dan dijangka sampai pada jam 6.00 pagi. Selepas itu mengambil penerbangan Canada ke Tronto sebelum ke Ottawa.

Cabaran dan degupan jantung sentiasa berdegup menandakan hatinya masih bermotivasi.
Selamat maju jaya Inspektor Ghazali bin Mohamad.

Tahniah.

Wednesday, October 26, 2011

Hujan dan Mentari Petang

Oktober hingga Mac pada setiap tahun merupakan musim hujan di Malaysia terutama di negeri-negeri Pantai Timur. Manakala, sekarang merupakan musim umat Islam menunaikan haji di Mekah. Musim peperiksaan di sekolah juga akan bermula tidak lama lagi. Bagi para pelajar yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peperiksaan akan bermula pada 14 November 2011. Semuanya memerlukan tumpuan.

Bagi bakal ibu dan bakal ayah, senario ini akan menjadi fenomena kepada mereka tidak lama lagi. Di UiTM pula, sekarang musim konvo. Selepas konvo, ramai yang akan menceburi bidang pekerjaan dan ramai yang merancang akan berkahwin. Bakal-bakal ibu dan ayah, merupakan pemain utama kepada dua event yang dinyatakan di atas.

Semoga, hujan yang turun merupakan hujan rahmat kepada semua orang. Carilah hikmah di sebalik hujan yang turun. Semoga mentari yang diharapkan akan muncul walaupun lewat petang.

Hidup penuh dengan agenda dan dugaan. Tempuhlah dengan aman dan hati yang tabah. Cari hikmah kepada segala dugaan dan cabaran. Berfikir secara positif. Tuhan TIDAK PERNAH menduga hambaNYA dengan dugaan yang tidak mampu dipikul. Cuma kita yang merasakan kesukaran itu. KITA insan terpilih. Bukan kita yang memilih.

Semoga ada cahaya di hujung dan di pertengahan serta di awal perjalanan hidup kita sebagai hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.

InsyaAllah.

Monday, October 24, 2011

Sabah oh Sabah

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah s.w.t di atas limpah kurnianya kepada diri ini dan umat manusia semua.

Haari ini, saya berpeluang menziarahi PPUM sekali lagi lanataran menghantar ibu mertua membuat pemeriksaan doktor. Temujanji pada pukul 11.00 pagi. Jumpa doktor pada jam 1.15 petang. Tak selesai setakat itu. Doktor memaklumkan agaar ibu mertua saya membuat pemeriksaan tambahan iaitu batuk yang telah berlanjutan selam dua minggu. Selesai semua urusan pada jam 4.45 petang. Sampai di rumah hampir jam 7.30 mlm.

Lewat malam baru dapat membaca e-mail. Penghantaran abstrak ke UMS telah diterima. Tarikh menghantar penulisan penuh pada 15 November 2011. Tapi saya tak ingat tarikh pembentangannya bila. Salam untuk waktu ini.

Saturday, October 22, 2011

Cuti Hari Ahad

Hari ahad merupakan cuti umum bagi negeri Selangor. Negeri yang paling maju dan mempunyai kepadatan penduduk yang kelima tertinggi di Malaysia mengikut banci penduduk 2010 selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Pulau Pinang.

Negeri Selangor merupakan negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) semasa pilihraya ke-12. Banyak isu dan perkara yang berlaku di negeri Selangor yang menjadi perbualan banyak pihak berbanding isu-isu yang muncul di negeri-negeri lain di Malaysia. Adakah kerana ianya diperintah dan ditadbir oleh PR atau itulah rencam negari maju, saya kurang pasti.

Pokoknya, orang kalau sudah popular sememangnya menjadi perhatian orang lain. Samada perbualan itu menjurus kepada kebaikan atau bercampurbaur dengan fitnah atau kejahatan. Itulah resam dunia. Ibarat artis, jika sudah menjadi popular, banyaklah cerita-cerita sensasi mengenai artis tersebut yang muncul di dada-dada akhbar. Sebagai pembaca, pembaca harus dan pandai menilai menggunakan akal bukan emosi.

Setiap individu bebas memberi pendapat dan pandangan tetapi sebagai umat Islam kita sentiasa bertanggungjawab terhadap pendapat dan pandangan yang kita beri. Itulah sumbangan kita kepada pembangunan modal insan di negara kita.

Hari ini kita berkata-kata
Esok kita masih berkata-kata
Lusa kita masih berkata-kata

Kita ulang kata-kata itu
Hari demi hari
Bulan demi bulan
Tahun demi tahun

Yahudi kata itu propaganda
Memahat sesuatu pendapat atau pandangan sesuatu pihak
terhadap pihak lain.

Apa pendapat atau pandangan itu.
Si Anu itu jahat
Kita pun ulang dan ulang sebutan
Si Anu  itu jahat
Hari demi hari
Bulan demi bulan
Tahun demi tahun

Jika benar, si Anu itu jahat
Mungkin baik
Jika salah, apa nak jadi?

Apa salahnya kita mendoakan orang jahat menjadi baik
Orang baik didoakan menjadi alim
Orang alim didoakan menjadi da'ie
Da'ie didoakan menyebarkan agama Allah
Agama Allah berkembang
Islam agama fitrah
Semoga semua orang baik dan tidak ada yang tidak baik.

Amin, Amin, Amin

Friday, October 21, 2011

Kembali Lagi

Alhamdulillah, kembali setelah sekian lama meninggalkan ruangan coretan ini.

Masih ada kudrat dan kekuatan untuk membuka lembaran ini dan seterusnya mencoretkan apa yang ada dalam fikiran ketika ini.

Dalam masa yang singkat, umat Islam akan menyambut Idul Adha. Ramai orang apabila bertemu dengan hari ini pasti akan berkata tentang korban dan pengorbanan. Sudah tentu Idul Adha dikaitkan dengan korban dan penyembelihan lembu dan kambing. Itu lah nature hari raya korban di Malaysia.

Tetapi hari ini, ramai orang sudah menyatakan kesanggupan untuk berkorban di luar negara seperti Sudan, Somalia, Pakistan, Vietnam, Kemboja dan negara-negara lain. Niat mereka adalah untuk memberi makan kepada orang-orang yang memerlukannya. Terdapa beberapa pihak yang berkempen tentang perlunya kita berkorban di negara-negara tersebut.

Persoalannya, jika semua orang berkorban di luar negara kerana menyahut pelawaan pihak-pihak yang berkenaan. Maka, mungkin pada satu hari nanti tiada orang yang menyembelih kambing atau lembu sempena hari raya korban di sesebuah kampung.

Kiraan saya mudah. Jika kita hendak membantu orang-orang yang susah dan miskin kenapa tunggu sehingga hari raya korban. Bukankah membantu orang yang susah perlu dilakukan sepanjang masa. Sebaik-baik bantuan ialah bantuan yang diberikan ketika seseorang itu memerlukannya. Saya memang menyokong sebarang usaha untuk membantu pihak yang susah tak kira dalam atau luar negara. tetapi jangan gahirah membantu orang lain sehingga terlupa sanak saudara dan kaum kerabat yang perlu dibantu dan diteladani..

Jika kita jarang bertanya khabar jiran tetangga dan sanak saudara yang terdekat, ziarahnya hanya setahun sekali itu pun dalam kadar 10 atau 20 minit sahaja atau mengaku saudara tetapi tidak pernah melakukan ziarah. Mungkin berkorban lembu dan kambing di luar negara lebih baik dari menggunakan duit untuk menziarahi kaum keluarga. Mungkin guru-guru agama kita mampu menjawabnya.

Hari ini, adik beradik bangga dapat membantu orang-orang di luar negara yang miskin dan kebuluran dengan memberi bantuan kewangan dan perubatan atas dasar saudara seagama dan seakidah. Tapi sedarkah kita masih ramai umat manusia yang beragama Islam sberbangsa Melayu sedang beratur mendapatkan bantuan dari orang-orang kristian atas dasar bantuan kemanusiaan. Sedarkah kita ada NGO Melayu dan Islam yang dikenali dengan nama HIMPUN akan mengadakan permuafakatan di Stadium Shah Alam bercerita perkara yang sama. Akidah Umat Islam.

Ya Allah,
Ampunkah kelalaian hamba Mu ini
Kealpaan yang tersandung
Ramai umat Mu yang menagih bantuan daripada tangan-tangan durjana

Ampunkan lah, ampunkan lah, ampunkan lah
Kuat kan semangat dan tekad
Berikan kudrat dan kekuatan
Bantuan lah hamba Mu ini menjelajah
Mengembara, Berhijrah
Berbakti kepada agamaMU
Islam