Friday, June 6, 2014

Pelajar Oh Pelajar Siswa Oh Siswa

Assalam.

1. Pada semester Mac 2014 - Julai 2014, saya diamanahkan untuk mengajar kursus Research Methodology dan Interpersonal Communication di UiTM serta ditambah satu kursus baru iaitu Psychology & Interpersonal Communication di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Manakala kursus di peringkat diploma ialah Public Speaking (Semester Jun - November 2014).

2. Mengajar merupakan pekerjaan saya semenjak 1985 selepas tamat pengajian di peringkat Sijil Perguruan Asas di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim. Johor Bharu. Kursus itu saya ikuti dan dijalankan dari tahun 1982-1984. Pengkhususan saya ialah Bahasa Melayu dan Matematik. Sepanjang bergelar guru, perbuatan pelajar menghantar buku latihan lambat dan meniru ketika ujian jarang berlaku. Mereka seringkali mengantar buku latihan mengikut jadual dan aktiviti meniru ketika ujian kurang diperkatakan. Itulah pelajar sekolah menengah. Bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja, Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor  & Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam. Guru Bahasa Melayu, Matematik dan Kaunselor Pelajar TETAPI banyak masanya mengajar matematik.

3. Tahun 2014, merupakan tahun yang ke - 29, saya berkerja sebagai pendidik. Cuma peringkatnya sahaja yang berbeza.Dari sekolah menengah ke peringkat universiti. Tetapi hasil yang diperolehi dari acuan-acuan yang dibentuk di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah tidak terbentuk di peringkat pengajian tinggi. Di peringkat pengajian tinggi terdapat peraturan mengenai plagiat iaitu mengambil hasil kerja orang lain dan dijadikan hasil kerja sendiri. Seakan-akan meniru juga ceritanya. Itu satu cerita.

4. Semasa saya menjalankan ujian bagi kursus yang saya ajar semester ini, saya dapati ramai pelajar mendapat markah yang tinggi. Saya berlaku aktiviti meniru tetapi saya tiada bukti. Kebetulan, semasa saya mengisi markah bagi pelajar yang telah menduduki ujian yang telah dijalankan, ada pelajar yang saya dapati tidak ada markah. Lalu, apabila mereka menghantar tugas individu, saya teringat pelajar yang tiada markah tadi. Selepas berlaku proses pengecaman, saya mohon pelajar tersebut mengambil semula ujian dengan menggunakan soalan yang sama. Malangnya hampir satu jam setengah, pelajar tersebut gagal menghantar kertas ujian yang saya berikan. Rupa-rupanya dia hanyamampu menjawab empat soalan sahaja daripadatiga puluh soalan.

5. Selepas tamat masa ujian, saya memberi peluang kepada pelajar tadi membuat semakan kepada kertas-kertas ujian yang telah saya tanda. Kalau-kalau terjumpa kertas jawapan beliau. Kebetulan dia jumpa kertas soalan itu dan mendapat markah 29/30. Bayangkan selepas tempoh seminggu, berlakunya penghakisan ilmu yang sangat ketara. BETUL Ke?

Senaman Sakit Pinggang

Info yang saya paparkan di sini diambil daripada Blog Mohd Shubhi. Diharapkan info ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Kredit juga saya berikan kepada Mohd Shubhi di atas daya usaha yang telah dibuat demi kesihatan fizikal dan mental pembaca.

Apakah anda sedang sakit pinggang?

Jika jawapannya adalah 'Ya!', saya yakin kemungkinan besar umur anda adalah di antara 30 ke 50 tahun. Ini disebabkan mereka yang mula mengalami rasa sakit pinggang atau tulang belakang bahagian bawah ini hanya setelah berumur antara 30 ke 50 tahun.

Kembali kepada anda yang sedang mengalami masalah sakit pinggang, saya ada petua senaman untuk melegakan sakit pinggang tersebut dan seterusnya membetulkan semula masalah pinggang dan tulang belakang bahagian bawah anda.

Dari Mana Saya Dapat Senaman Melegakan Sakit Pinggang Ini


Sama macam anda, saya mula sakit pinggang sejak usia meningkat. Rasa sakit itu bermula apabila saya mengangkat seguni beras dan cuba menghayunkannya naik atas lori.

Tiba-tiba terdengar satu bunyi letupan yang kuat di dalam badan saya pada bahagian pinggang atau tulang belakang bahagian bawah. Selepas itu saya jadi senget dan tidak dapat berdiri tegak.

Rasa sakit pinggang itu cukup menyiksakan. Semua posisi tidak kena. Berdiri sakit, duduk sakit dan berbaring juga sakit. Saya terpaksa menyengetkan badan untuk kurangkan rasa sakit tersebut.

Maka bermulalah pencarian tukang urut yang pandai betulkan tulang belakang. Sebenarnya urut tulang belakang ini bukanlah boleh main-main. Orang yang betul-betul arif saja yang mampu melakukannya. kalau setakat belajar urut urat, tak payah nak tunjuk pandai betulkan tulang belakang.

Nasib saya baik apabila seorang kawan membawa saya berjumpa seorang pandai urut tulang yang dipanggil Wak. Dia tinggal di Kawasan Gombak. Menurut kawan saya, Wak memang cukup pandai betulkan tulang.

Jika orang nak bergaduh di kawasan itu, mereka akan pastikan Wak ada terlebih dahulu kalau-kalau nanti ada berlaku masalah patah atau terseliuh. Jika Wak ada di rumah tak ke mana-mana, mereka dengan senang hati bertumbuk atau bergaduh...ada orang boleh betulkan nanti. Itulah yang diceritakan pada saya.

Oleh kerana tak tahan sakit, saya pergi berjumpa dengan Wak. Alhamdulillah, hasil urutan Wak membetulkan tulang belakang saya membuatkan saya lega dan boleh menegak semula. Wak kata tak perlu risau lagi, semua dah ok dan saya boleh melompat ikut suka hati kerana dah diperbetulkan.

Tetapi masalah pinggang sakit itu akan datang sekali sekala bila saya silap duduk atau berjalan terlalu lama. Nampaknya urutan Wak tidak membuatkan sakit pinggang saya hilang terus. Masih ada masalah rupanya.

Sejak itu saya amat peka mencari pendekatan bagaimana cara nak betulkan tulang belakang atau pinggang yang suka sakit.

Dipendekkan cerita saya terjumpa buku lama berbahasa inggeris yang ditulis oleh seorang pakar tulang belakang di Britain. Tanpa berlengah saya terus beli dan balik rumah untuk membacanya. Dari situlah saya mendapat petua senaman ini yang ternyata cukup mujarab melegakan terus semua masalah sakit pinggang saya selama ini.

Lihat Cara Senaman Melegakan Sakit Pinggang Di Bawah Ini Untuk Diamalkan

Senaman #1

Ini senaman pertama yang paling mudah jika anda betul-betul sakit pinggang sampai tak boleh berdiri lama atau duduk lama. Senaman ini nampak mudah saja dan memang mudah dilakukan jika anda tak sakit pinggang.

Namun begitu jika anda sedang mengalami sakit pinggan yang serius, senaman mudah ini agak menyakitkan pada mula ianya diamalkan. Jangan risau kalau sakit teruskan mengamalnya sehingga rasa sakit lega kembali.

Baring seperti posisi yang anda lihat di gambar atas. Pastikan kedua-dua tangan anda rapat ke lantai dan begitu juga seluruh badan sehingga kepala anda turut sama rapat.

Angkat kaki seperti dalam gambar. Kemudian dengan keadaan badan anda cuba menekan lantai kemutkan otot punggung anda naik ke atas tanpa menggerakkan mana-mana anggota lain selain dari anggota atau otot punggung anda.

Latihan atau senaman ini akan melegakan rasa sakit pinggang sedikit demi sedikit. Lakukan kemutan selama 10 saat tahan dan lepaskan semula. Ulang sebanyak 10 kali dan boleh berehat. Selepas itu anda boleh lakukan semula senaman tersebut dalam jarak satu atau dua jam selepasnya.

Amalkan senaman mudah ini sehingga anda mula rasa lega dan jangan berhenti walaupun setelah pinggang tidak lagi ada rasa sakit. Jadikan ini satu senaman rutin setiap hari untuk melegakan rasa lenguh atau sakit pinggang anda.

Ok, ambil petua itu dulu. Saya akan buat artikel kedua selepas ini untuk senaman yang lain pula untuk melegakan sakit pinggang anda. Ada banyak senaman sebenarnya. Tetapi insyaallah saya akan berikan hanya yang paling mujarab berdasarkan apa yang telah saya praktikkan.

4 Lagi Senaman Melegakan Sakit Pinggang Untuk Diamalkan

Bagi mereka yang mengalami sakit pinggang teruk akan merasa sukar melakukan senaman pertama walaupun senaman tersebut nampaknya amat mudah. Jika anda tidak mempunyai apa-apa masalah sakit pinggang, senaman itu mudah macam makan kacang.

Selesai melakukan senaman pertama berulang kali, anda boleh cuba mencuba senaman yang saya senaraikan di bawah ini. Buat mana-mana satu yang tidak mendatangkan kesakitan yang teruk pada pinggang anda satu demi satu.

Senaman #2



senaman sakit tulang belakang

Selesai senaman pertama, kekalkan kedudukan anda dan cuba pula buat senaman seperti berikut. Angkat kaki perlahan-lahan seperti dalam gambar. Kemudian gunakan kedua-dua belah tangan memegang bahagian paha dan tarik perlahan-lahan sehingga lutut mencecah dada.

Pastikan anda cuba kekalkan kedudukan badan sentiasa rapat pada lantai untuk mendapatkan kesan yang maksima terhadap regangan tulang belakang pada bahagian pinggang. Tarik dan cuba bawa lutut pada arah dada serapat mungkin dan kekalkan keadaan itu dengan kiraan 10 ke 15 saat.
senaman sakit tulang belakang

Setalah itu turunkan kaki perlahan-lahan ke bawah semula dan rehat sebentar. Ulang lagi gaya menaikkan kaki ke arah dada seperti tadi dengan kiraan yang sama dan lepas kam semula. Anda perlu mengulang aksi tersebut dalam jumlah lebih kurang 10 kali sebelum berhenti.

Senaman #3


Selesai melakukan senaman #2 di atas, kekalkan kedudukan terlentang dengan keadaan posisi awal seperti senaman pertama. Kali ini anda perlu membetulkan semula kedudukan tulang belakang bahagian bawah jika ada sedikit gelinciran berlaku.

Berhati-hati melakukan senaman ini kerana jika anda ada masalah sakit pinggang yang teruk akibat disk atau ruas tulang belakang yang tergelincir, ia boleh mendatangkan kesakitan. Lagipun, jika disk tergelincir teruk, anda sebenarnya perlu mendapatkan rawatan pakar.

Dengan keadaan tangan rapat pada lantai kedua-duanya dan belakang badan juga rapat pada lantai, turunkan kaki anda perlahan-lahan ke kanan. Biarkan sampai kaki anda mencecah lantai dalam masa yang sama kekalkan anggota badan dan tangan keseluruhannya rapat pada lantai.

Seteleh turunkan ke bawah, berhenti dan kira 10 saat. Kemudian angkat semula perlahan-lahan pada posisi asal dan tunggu sebentar.

Selepas itu, turunkan pula pada arah kiri dan tahan dalam kiraan 10 saat dengan keadaan yang sama macam saya sebutkan di atas, dan naik semula. Anda perlu ulang sehingga 10 kali dalam kedua-dua arah iaitu 10 kali ke kiri dan 10 kali ke kanan.

Senaman #4


Selesai kesemua senaman pertama, kedua dan juga ketiga. Anda akan melakukan satu lagi senaman yang agak mencabar. Walaupun nampak sukar tetapi ia amat melegakan bagi mereka yang ada masalah lenguh atau sakit pinggang.

Pusingkan keseluruhan badan anda dalam keadaan meniarap seperti yang ditunjukkan pada gambar. Angkah tangan seperti posisi dalam gambar. Dengan keadaan keseluruhan kaki sampai paras pinggang anda melekat pada lantai, tolak badan naik perlahan-lahan ke atas sehingga tangan anda menegak lurus.

Pastikan ianya dilakukan secara perlahan agar tidak mencederakan diri anda sendiri. Jika anda sakit terus hentikan dahulu dan jangan buat senaman ini. Jika boleh tahan, naik setinggi mana yang boleh dan kekalkan pada posisi teratas selama 10 saat.

Selepas itu turun semula perlahan-lahan dan rehat sebentar. Naik semula ke atas perlahan-lahan dan tahan selama 10 saat dan turun semula. Ulang senaman tersebut sebanyak 10 kali lagi.

Senaman #5


Setelah selesai melakukan senaman ke empat di atas tadi, cuba pula senaman kelima dan terakhir ini. Senaman ini ada gaya seperti senaman harimau yang membetulkan tulang belakangnya dan amat mujarab melegakan sakit pinggang tahap maksimum.

Anda akan rasa sakit dan tidak selesa pada permulaan melakukannya. Itu tandanya masih ada masalah lagi pada pinggang anda. Tak apa, lakukan secara perlahan-lahan sehingga senaman ini menjadi mudah dan amalkan selalu.
senaman sakit belakng

Caranya adalah duduk seperti kedudukan harimau atau kucing. Pastikan paha tegak 90 darjah dan begitu juga kedua-dua tangan anda. Kemudian mulanaikkan keseluruhan bahagian badan atau perut anda ke atas setinggi mungkin dengan keadaan kepala anda menunduk ke bawah. Tahan di situ dalam kiraan 10 saat.

Selepas itu turunkan semula badan atau perut anda perlahan-lahan ke bawah dan dalam masa yang sama tonggekkan punggung setinggi mungkin serta naikkan atau dongak kepala anda seatas mungkin. Kekalkan posisi paling tinggi dan tahan selama 10 saat kemudian naik semula badan anda seperti mula tadi perlahan-lahan.
senaman sakit tulang belakang
Perhatian!!!, jika anda perempuan, jangan lakukan senaman ini di hadapan suami anda!!!

Ulang senaman itu ke atas dan kebawah sepuluh kali secara perlahan-lahan dan jika rasa sakit dah hilang, boleh kalau ak cepat sedikit. Senaman ini memang best. Jika ada lenguh atau sakit pinggang, melakukan senaman ini sahaja berulang-ulang dapat memberikan kelegaan.

Ulang Kesemua Senaman Melegakan Sakit Pinggang


Begitulah 5 cara senaman untuk melegakan sakit pinggang yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Jika anda sakit pinggang, buat kesemua senaman satu persatu dalam tempoh satu jam sekali atau dua jam sekali.

Biasanya sakit pinggan dan rasa kurang selesa pada pinggang anda akan hilang terus dalam tempoh satu hari sahaja. Selamat mencuba dan jangan lupa kongsikan artikel ini pada rakan atau saudara mara anda yang berumur antara antar 30 ke 50 tahun.