Thursday, April 18, 2013

Salam April

As salam warga Malaysia.

Kehidupan ini penuh dengan keindahan dan warna-warna kehidupan yang dirancang, terancang atau tidak dirancang. 
Waktu dan ketika ini, dunia Malaysia di serata pelusuk bumi Malaysia terhibur dengan watak-watak manusia yang bernaung di bawah payung politik. Politik atau siasah tidak salah dan membawa kepada kebaikan namun pelakon-pelakonnya yang salah membaca skrip dan memainkan watak-watak yang telah ditentukan oleh Pencipta. Walaupun pertandingan memasang poster telah berlaku dengan hebat. Begitu juga dengan pertandingan mewarnai blog-blog dengan pelbagai cerita indah dan duka. Namun, semangat dan peluang berjuang telah digunakan dengan sepenuhnya oleh mereka yang bergelar pejuang politik. Selamat berjuang. Pilihan saya telah tetap. Pilihan isteri juga telah tetap. Kami bersepakat telah menetapkan keputusan undi kami. Tunggu hari 5 Mei 2013 sahaja. Undi tetap undi. Saya harap anda juga menjalankan tugas denga keluar mengundi. Awas. Sebelum keluar mengundi ingat kepada Allah s.w.t dan mengundilah berpandukan panduan yang ditunjukkan kepada kita selepas menunaikan Solat Istiqarah. Solat sunat yang dikerjakan bagi membantu kita membuat pilihan yang betul dan berserah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya keputusan yang dibuat adalah dengan panduan dan petunjuk dari Allah s.w.t. Jangan mengundi dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan hawa nafsu.

Perkara yang difikir bukan sahaja mengundi tetapi memikirkan juga peluang untuk menunaikan umrah pada bulan Mei 2013. Pasport telah diperbaharui pada 16 April 2013 di Pejabat Imigresen Selangor yang terletak di tingkat dua Komplek PKNS Shah Alam. Datang pada pukul tiga dan pasport siap dalam tempoh dua jam sahaja tetapi kami bernasib baik kerana pasport kami siap cepat dan jam 4.30 dah boleh ambil pasport. Syukur Alhamdulillah. Bayar untuk dua tahun = RM100 sahaja. Lima tahun = RM300.

Malam tadi selepas solat Maghrib, saya berserta isteri telah ke klinik Dr Syima di Jalan Haji Sirat untuk megambil suntikan bagi tujuan untuk menunaikan umrah bersama Hj. Ishak, Hjh Raslin dan Mohd Radhi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Manakala menunggu hari Sabtu (20 April 2013) untuk mendengar taklimat umrah daripada pihak penganjur di Hotel de Palma, Kuala Selangor. Mudah-mudahan perjalanan untuk menunaikan Umrah dipermudahkan oleh Allah s.w t.

Sebelum, menutup buku harian pada hari ini, suka saya menyatakan betapa gembira kerana mendapat berita bahawa  Muhammad Fuad telah dihubungi oleh pihak Firma Tetuan Sidek Teoh & Dennis yang bertempat di tingkat 32 Menara TH di Jalan Sultan Ismail melalui HR bagi menyatakan beliau berjaya dalam sesi temubual yang lalu untuk menjadi Chambering Student di sana. Pihak firma berharap Muhammad Fuad dapat membuat attachment dahulu atau bertugas sebagai pelajar dalam latihan sehingga menunggu keputusan peperiksaan akhir semester 08 dan surat pelepasan daripada pihak fakulti. Mereka berharap Muhammad Fuad dapat melaporkan diri secepat mungkin. Kesemua keputusan berkaitan dengan chambering saya dan umminya serahkan sepenuhnya kepada Muhammad Fuad. Namun, saya dan umminya berharap Muhammad Fuad mengambil peluang yang datang dan tidak mensia-siakannya. Kerana peluang yang datang sebenarnya datang bersama apa yang pernah kita cita-citakan. Allah s.w.t maha pendengar dan maha  pengasih.
Muhammad Mu'adz pula akan mengikuti kursus selama seminggu mulai minggu depan (22 April 2013 - 26 April 2013) dalam persediaan untuk menghadapi peperiksaan di peringkat asas untuk menjadi softwear tester di sebuah hotel berhampiran PWTC. Semoga beliau berjaya. Amiin.

Selamat berehat dan menghayati malam Jumaat yang indah. Amiin.

Saturday, April 13, 2013

Keputusan

Alhamdulillah, syukur keHadrat Allah di atas rahmatNya kepada kita semua.

1. Saya bersyukur kepada Allah di atas limpah rahmatnya kepada saya sekeluarga terutama kepada anak-anak yang mendapat keputusan bagi penentu hidup mereka. Siti Nadiah, menelefon saya dan umminya mengkhabar berita gembira yang diperolehinya pada petang hari Jumaat 13 April 2013. Nadiah mendapat keputusan peperiksaan akhir bagi tahun pertama MBBS di Royal College Medical Perak, Ipoh. Keputusan peperiksaan itu hanya menyatakan LULUS / GAGAL. Keputusan penuh peperiksaan itu akan diketahui pada bulan MEI 2013. Siti Nadiah telah LULUS peperiksaan tahun pertama MBBS di RCMP.

2. Muhammad Fuad, pada hari Jumaat 13 April 2013 telah pergi menghadiri temuduga untuk menjadi Chambering Student selepas tamat pengajian pada bulan Jun 2013 nanti. Pada pukul 11.00pagi,  Muhammad Fuad menghadiri temuduga di firma Sidek, Teoh, & Dennis di Menara TH, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Sebelah petang selepas selesai Solat Jumaat, Muhammad Fuad menghadiri temuduga bagi jawatan yang sama di Kwong & Hwong, Bangsar. Kuala Lumpur. Keputusan rasmi tidak dimaklumkan lagi tetapi kedua-dua firma itu ingin jawatan Chambering Student itu dilakukan pada bulan Ogos 2013 nanti iaitu selepas menyambut Hari Raya idil Fitri. Jawatan Chambering Student itu merupakan jawatan bagi pelajar-pelajar ijazah undang-undang menjalani latihan undang-undang sebelum memasuki jawatan tetap. Tempoh masa menjadi Chambering Student ialah selama setahun.

3. Muhammad Na'im pula secara umumnya telah menamatkan pengajian semester enam di peringkat diploma. Ini bermakna setelah tamat peperiksaan pada hari Rabu lalu (11 April 2013) bagi Program Diploma Perniagaan (Pengangkutan) secara umumnya selesai sudah pengajian di peringkat diploma. Tetapi, keputusan peperiksaan yang lalu, Muhammad Na'im telah terpaksa mengulang satu kursus dan dia mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan itu dalam intersesi yang akan pada 22 April 2013 nanti. Semoga Muhammad Na'im berjaya dengan cemerlang.

4. Muhammad Fahmi pula akan menduduki peperiksaan pada 22 April 2013 hingga 29 April 2013 diperingkat Matrikulasi di Matrikulasi Melaka. Semoga Muhammad Fahmi berjaya dengan cemerlang. Amin.

5. Muhammad Mu'adz telah disenaraikan sebagai lulusan Sarjana Muda Sains Teknologi Polimer dalam konvo UiTM yang akan datang pada 15 Mei 2013 di Dewan Agung Tunku Canselor. Selamat berkonvo.

Wednesday, April 10, 2013

10 April 2013

As salam.

Hari Rabu, hari ini berlalu seperti biasa lagaknya.

Namun, hari ini menjadi hari yang sangat penting  dalam kamus manusia politik dan pengikutnya. Pada hari ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi bagi Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.

Ada manusia yang berdebar menunggu hari ini dan ada yang tidak mengendahkan kedatangan hari Rabu ini. Hidup mereka seperti biasa. Sewaktu aku dalam perjalanan untuk menuju ke surau fakulti, terdapat sekumpulan pensyarah lelaki yang rancak berbincang mengenai suasana pilihan raya pada kali ini.

Aku......aku tetap merasakan hari ini penting seperti hari-hari yang lain.
Selepas hari ini, manusia politik akan menunggu hari Sabtu 20 April 2013 iaitu hari penamaan calon yang bertanding bagi parti masaing-masing. Diikuti hari Ahad 5 Mei 2013 iaitu hari pengundian.

Jalanraya di Malaysia telah dipenuhi dengan pelbagai warna bendera dan sepanduk. Semoga Malaysia tetap aman dan harmoni. Amiiin.

Sunday, April 7, 2013

Abad yang berlalu

Alhamdulillah

Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan izinNya, saya telah mencapai usia ke lima puluh. Satu angka yang tidak pernah terfikir oleh minda ini. Namun atas ehsanNya, umur atau usia saya telah mencapai angka ke lima puluh mengikut kiraan tahun masihi.

Besar nikmat dan rahmat yang diberikan kepada diri saya. Pada  masa kita ini masih segar, sihat dan berupaya meneruskan perjuangan hidup yang belum sampai ke penghujung. Mungkin kah banyak lagi onak dan duri yang perlu diharungi. Banyak lagikah kekotoran yang perlu dicuci. Banyak lagikah titik-titik hitam yang perlu diputihkan. Hanya Allah jua yang mengetahui.

Ramai sahabat, kenalan, anak-anak murid termasuk anak dan isteri memberi ucapan selamat hari lahir. Ada yang mendoakan panjang umur. Ada yang mendoakan agar saya diberikan kesihatan yang baik. Ada juga yang mendoakan agar saya dikurniakan rezeki yang murah. Ya Allah, Kau perkenankan doa-doa mereka yang mendoakan. Itulah harapan saya. Namun, Allah jua yang mengizinkan. Sebagaimana mereka mendoakan, begitu jug lah doa saya ke atas diri sendiri. Amiiin.

Tarikh 21 Nov 2012, jatuh pada hari Rabu. Atas permintaan Muhammad Fuad, sambutan untuk meraikan hari lahir ke 50 ini tidak dibuat pada malam itu sebaliknya ditunda kepada hari jumaat atau sabtu kerana dia tidak dapat balik untuk meraikannya. Kebetulan Siti Nadiah pun nak balik pada hujung minggu yang sama. Hujung minggu ini dapatlah saya bersama-sama anak-anak meraaikan sambutan ulang tahun usia yang ke 50 tahun. Tiada agenda yang istemewa pun. Masih belum ada perancangan. Bergantung kepada keadaan semasa.

Apabila usia mencapai angka 50, banyak lah perkara-perkara yang perlu difikirkan. Tetapi saya masih belum memikirkannya lagi. Saya masih berjuang untuk memikirkan bagaimana untuk menamatkan pengajian yang belum ada penghujungnya. Dalam masa yang sama, saya turut terfikir untuk membuat umrah bersama keluarga. Semuanya masih dalam kotak pemikiran dan belum ada tindakan lagi. Aduhai, lambatnya bertindak dan berfikir. Masih belum ada tindakan lagi ke. Belum ada kemajuan lagi ke. Masih belum bergerak lagi ke.

BIODATA RASULULLAH S.A.W

BIODATA RASULULLAH SAW


Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta”. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ‘ St. Valentino ‘ daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.


BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571

Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah

Abrahah yang menyerang kota Kaabah).

· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.

· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.

· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).

Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).

Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).


USIA 5 TAHUN

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat

untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.


USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ‘

(sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).

Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.


USIA 8 TAHUN

Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.

Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.



USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).



Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.

Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.



USIA 20 TAHUN



Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘ Sirah ‘ ,jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan

berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.

· Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul ‘ ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.



USIA 25 TAHUN



Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.

Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.

Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untu meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.

Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.



USIA 35 TAHUN



Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.

Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘ Hajarul-Aswad ‘ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan

batu tersebut.



USIA 40 TAHUN



Menerima wahyu di gua Hira ‘ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.



USIA 53 TAHUN



Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.

Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.



USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.



ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW



§ Khadijah Binti Khuwailid.

§ Saudah Binti Zam’ah.

§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).

§ Hafsah binti ‘ Umar (anak Saidina ‘ Umar bin Al-Khattab).

§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.

§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).

§ Zainab Binti Jahsy.

§ Maimunah Binti Harith.

§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.

§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘ Ummu Al-Masakin ‘ ; Ibu Orang Miskin).



ANAK-ANAK RASULULLAH SAW



1. Qasim

2. Abdullah

3. Ibrahim

4. Zainab

5. Ruqaiyah

6. Ummi Kalthum

7. Fatimah Al-Zahra ‘



ANAK TIRI RASULULLAH SAW



Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).



SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW



IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN

1. Thuwaibah 1. Hamzah

2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad



SAUDARA SUSUAN

1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib

2. Abdullah bin Harith bin Abdul ‘ Uzza

3. Syaima ‘ binti Harith bin Abdul ‘ Uzza

4. ‘ Aisyah binti Harith bin abdul ‘ Uzza



BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW

(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)



1. Al-Harith

2. Muqawwam

3. Zubair

4. Hamzah ***

5. Al-Abbas ***

6. Abu Talib

7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)

8. Abdul Ka ‘ bah

9. Hijl

10. Dhirar

11. Umaimah

12. Al-Bidha (Ummu Hakim)

13. Atiqah ##

14. Arwa ##

15. Umaimah

16. Barrah

17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***



*** Sempat masuk Islam.

## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.



Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )



اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم



Nabi Muhammad SAW – Manusia agong



KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH. Begitu indahnya sifat fizikal

Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran

apa yang disampaikan oleh Baginda.



Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:



- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..

- Aku melihat cahaya dari lidahnya.

- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.

- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.

- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.

- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.

- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.

- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.

- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.

- Wajahnya seperti bulan purnama.

- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.

- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.

- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.

- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.

- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.

- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.

- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.

- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.

- Janggutnya penuh dan tebal menawan.

- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.

- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.

- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.

- Rambutnya sedikit ikal.

- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.

- Rambutnya terbelah di tengah.

- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.

- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.

- Seimbang antara kedua bahunya.

- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.

- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.

- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.

- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.

- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.

- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.

- Warna putihnya lebih banyak.

- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.

- Warna kulitnya putih tapi sihat.

- Kulitnya putih lagi bercahaya.

- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.

- Badannya tidak gemuk.

- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.

- Perutnya tidak buncit.

- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai

baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.



KESIMPULANNYA :

Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman.

Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.



NB:



Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan RasulNya mencintai kita kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin…



Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak.



Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 8:06 AM