Monday, March 24, 2014

Isnin 24 Mac 2014

As salam.

Salam sejahtera buat semua, terutama isteri, anak-anak, kedua ibubapa, saudara mara, rakan-rakan dan kaum muslimin serta muslimat semua. Syukur kehadrat Allah s.w.t kerana masih meminjamkan usia kepada kita semua.

Hari ini, saya rasa letih akibat berkerja sehari suntuk semalam dan berkerja untuk tujuh hari seminggu. Secara peribadi, saya fikir saya perlu rehat sehari dalam seminggu. Alhamdulillah selepas berehat sehari, kesegaran badan terasa dan hidup terasa seronak dan akal dapat berfikir dengan jelas. 

Membesarkan anak-anak merupakan cabaran yang maha hebat dalam diari seorang ibu dan bapa. Ada orang, bilangan anaknya satu, ada yang dua, ada juga bilangan anaknya tiga dan seterusnya. Membesarkan anak dan mendidik anak antara lelaki dan perempuan memang jauh bezanya. Kalau bilangan anak lelaki kita ramai maknanya kita bersedia dan berkemampuan mendidik mereka dengan baik. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha besar sifatNya mengenai kemampuan hambaNya yang bernama manusia. Kita sering bertanya, kenapa bilangan anak aku seramai ini dengan bilangan anak lelaki seramai ini dan bilangan anak perempuan seramai ini. Allah maha benar dan maha mengetahui kemampuan setiap hambaNya. Setiap ibu dan bapa jika ditanya tentang kehebatan membesarkan dan mendidik anak-anak masing-masing, jawabnya sukar untuk dijawab.

Apabila ibu bapa memberi nasihat, kata anak-anak jadilah seperti kawan-kawan supaya senang untuk mereka menerimanya. Dalam masa yang sama, mereka masih mahu kita menjadi ibu bapa untuk mereka bergantung harap. Persoalannya, bila masa ibubapa boleh menjadi kawan dan bila masa ibubapa menjadi dan memegang peranan sebagi ibubapa. Bagaimana hendak mengendalikan kedua-dua peranan yang berbeza, istilah kawan berbeza dengan istilah ibubapa. Peranan kawan berbeza dengan peranan ibubapa. 

Cuba, kita lihat dan mengkaji pandangan Barat tentang istilah kawan dan ibubapa dari sudut psikologi Freud. Menurut Sigmund Freud, dalam minda manusia ada minda sedar, minda separa sedar dan minda tidak sedar. Minda sedar ialah minda yang berfungsi memikirkan perkara-perkara semasa. Seperti sedapnya makan nasi lemak atau sedapnya makan aiskrim. Manakala minda separa sedar ialah perkara-perkara yang boleh diingat kembali. Perkara yang telah berlaku dan kita tidak memikirkannya buat masa sekarang tetapi masih boleh diperkatakan dan dibincangkan dengan baik. Manakala minda tidak sedar, merujuk kepada perkara yang telah kita lupakan dan sukar untuk diingati tetapi dizahirkan dalam bentuk perlakuan. Minda tidak sedarnya berkaitan dengan perkara-perkara yang telah berlaku sekian lama seperti ketika kita berusia lima atau enam. Pada ketika itu, telah berlaku sesuatu peristiwa yang menakutkan dan kesannya dizahirkan melalui perlakuan seperti cepat rasa panik, takut dan fobia. 

Rakan-rakan atau kawan-kawan hanya mampu berinteraksi dengan kita tentang minda sedar dan separa sedar sahaja. Mereka tidak mampu berinteraksi dengan kita mengenai perkara-perkara dalam minda tidak sedar. Persoalannya, adakah ibu bapa sedar atau peka tentang perkara-perkara yang berlaku dalam minda tidak sedar anak-anak mereka. Di sinilah mereka harus berperanan sebagai kawan-kawan dalam mengenalpasti perkara-perkara yang berlaku di peringkat minda bawah sedar anak-anak mereka.

Rasanya, perbincangan ini boleh berlarutan menjadi bertambah panjang. Biarkan saya tamatkan di sini dan sambungannya di masa yang lain. InsyaAllah.

No comments: