Monday, May 6, 2013

Sehari Selepas 5 Mei 2013

As salam. Salam sejahtera kepada semua warga Malaysia. Buat warga Malaysia beragama Islam, salam ukhwah dihulurkan dan salam kemesraan buat warga Malaysia yang belum beragama Islam.

Sehari selepas 5 Mei 2013.

Setelah menunaikan tanggungjawab kepada negara pada jam 3.15 petang semalam, selepas beratur hampir satu jam di saluran 2, pusat mengundi di SK Rantau Panjang Klang. Setibanya di sana bersama isteri, saya lihat ada disediakan 2 kaunter semakan mengundi yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Saya dan isteri pun turut beratur tetapi pegawai polis yang menjaga barisan memberitahu kepada orang-orang yang beratur, jika kita tahu saluran mana yang kita akan mengundi maka boleh bergerak ke saluran tersebut.

Setelah sampai ke bilik saluran 2, didapati telah ramai orang yang beratur menunggu giliran untuk mengundi. Suasana di hadapan bilik saluran 2 semacam budak-budak sekolah yang beratur untuk masuk ke kelas. Walaupun, pengundi-pengundi yang sedang beratur merupakan generasi akhir 40an dan awal 50an serta akhir 50an terdapat suasana kemeriahan. Seolah-olah kami telah lama kenal dan boleh berbual mesra.

Setelah beratur hampir 40 minit, hujan mula turun dengan renyai-renyai dan adakalanya menyentuh tubuh kami yang sedang beratur. Akhirnya tiba giliran saya untuk mengundi dan diikuti oleh isteri. Sebelum kertas undi diberikan kepada kami, kami kena menunjukkan kesepuluh-sepuluh jari tangan kami untuk dipastikan tidak lagi dicalit dengan dakwat biru kehitaman oleh pihak SPR. Setelah berpuashati, petugas SPR mencalitkan dakwat biru kehitaman ke bahagian jari telunjuk sebelah kiri tangan saya. Setelah selesai, saya bergerak ke kaunter seterusnya untuk semakan nama. Petugas yang bertugas pun mencari nama dan no. kad pengenalan dari senarai nama pengundi yang ada dihadapan beliau. Petugas pertama dan kedua adalah petugas perempuan. Setelah nama saya dijumpai maka ia akan menyebut nama saya berserta nombor kad pengenalan dengan kuat untuk perhatian pihak wakil calon yang juga berada di dalam kawasan bilik pengundian. Ada dua orang wakil calon, seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Kedua-duanya saya tidak kenal.

Setelah itu saya bergerak ke kaunter ketiga untuk mendapatkan kertas undi bagi calon parlimen dan dewan undungan negeri (DUN). Setelah selesai, saya pun bergerak ke kawasan meja untuk mengundi. Saya mengambil masa yang singkat untuk mengundi. Sebelum mengundi calon yang menjadi pilihan saya, saya dahului dengan bacaan basmalah. Setelah selesai, saya memasukkan kertas undi kedalam tong yang disediakan, satu tong untuk kertas undi bagi parlimen dan satu lagi untuk kertas undi untuk DUN. Selesai tugas saya untuk negara pada kali ini bagi Pilihanraya Ke 13 (GE 13).

Di luar bilik mengundi, hujan turun dengan lebat, saya keluar dari bilik mengundi dan terus bergerak keluar dan menuju ke kawasan kantin sekolah. Saya nampak, bapa mertua Mohd Radhi, Hj. Ahmad Baidawi  dan terus menuju ke arah beliau. Saya bersalaman dengan beliau dan beberapa orang lain yang duduk seiring dengan beliau. Selepas berbual pendek, saya minta keizinan untuk membasuh tangan. Saya lihat ada orang yang sedang membasuh tangan untuk menghilangkan kesan dakwat yang telah dicalitkan ke bahagian jari telunjuk kiri. Saya juga ingin berbuat demikian. Tapi tak sempat kerana kawasan tempat basuh tangan itu kena tempias hujan. Saya mengambil keputusan untuk membasuh tangan di rumah.

Sekian.

No comments: