Monday, May 24, 2010

Kebahagiaan dan kekayaan

Alhamdulillah,

1. Hari ini, kita semua masih hadir di bumi kepunyaan Allah. Hakikatnya kita hanya menumpang di bumi ini untuk jangkamasa yang kita sendiri tidak tahu. Ada yang jangkamasanya pendek dan ada yang jangkamasanya panjang. Itu namanya takdir.

2. Dalam hidup ini kita sering mencari kebahagiaan dan kekayaan. Mungkin kita telah perolehi kedua-duanya sekali. Mungkin kita perolehi satu daripada dua atau mungkin kita masih belum perolehi kedua-duanya sekali. Namun kita tetap yakin dan percaya bahawa kita akan perolehi kedua-duanya pada masa dan keadaan yang tepat. Insya Allah.

3. Jika, kita biasa hidup dalam suasana yang bising dan hingar, adakah kita mampu menerima situasi yang sunyi dan senyap. Atau suasana yang aman dan damai. Tentu kita rasa janggal. Kebahagiaan tidak semestinya bermaksud, seseorang itu hidup dalam suasana yang senyap, sunyi, aman atau damai. Kebahagiaan bagi seseorang berbeza dengan orang lain. Oleh itu, setiap manusia harus mengenai diri mereka dahulu baru mereka mampu mencari apa yang diperlukan di dalam hidup mereka. Orang bisu akan rasa bahagia jika mereka boleh bercakap, orang buta bahagia jika mereka boleh melihat, orang pekak rasa bahagia jika mereka boleh mendengar dan mereka yang lumpur dan tidak boleh berjalan akan rasa bahagian jika mereka boleh bergerak dan berjalan ke tempat yang ingin mereka tuju tanpa bantuan orang lain.

4. Adakah kita rasa bahagia sekarang? Kalau kita belum rasa bahagia, maka perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah mengenai diri dan keperluan diri kita dahulu. Jangan samakan diri kita dengan diri orang lain. Jangan samakan keperluan kita dengan keperluan orang lain. Apa yang penting ialah kita dapat bersyukur di atas nikmat hidup yang Allah kurniakan kepada kita. Dengan nikmat hidup itu, kita akan mampu merealisasikan kebahagiaan yang kita cari selama ini selagi kita tidak lupa tanggungjawab kita sebagai makhluk Allah yang mempunyai jangkahayat yang tertentu untuk berada di muka bumi ini.

5. Kekayaan! kekayaan! kekayaan!. Semua orang ingin kaya, semua orang ingin memiliki wang yang banyak, dan semua orang ingin membeli tanpa meminta dan meminjam daripada orang lain. Kita dapat membeli apa yang kita mahu dan inginkan. Kita dapat memakai apa sahaja pakaian yang kita idamkan. Tetapi kita sering lupa bahawa kekayaan kita itu belum tentu mampu membantu kita membeli kebahagiaan. Mengikut Abraham Maslow, hiraki keperluan manusia yang tertinggi ialah kesempurnaan kendiri. Kesempurnaan kendiri secara umum bermaksud seseorang itu telah mencapai segala yang diinginkan dan dirinya berada dalam suasana yang aman dan damai dan diikuti dengan rasa bahagia. Rasa hormat orang kepada kita tidak boleh dibeli walaupun cuba dibeli oleh sesetengah ahli politik. Namun, hakikatnya dalam politik, rasa hormat hanya jika berkuasa dan perkara sebaliknya akan berlaku jika kita sudah tidak berkuasa lagi.

6. Sahabat, rakan, bapak-bapak, ibu-ibu, adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang, didik anak dan murid-murid kita dengan ikhlas dan jujur supaya mereka memahami erti kebahagiaan dan kekayaan. Kaya hati dan budi, bahagia rohani dan jasmani. Insya Allah hidup kita walaupun pendek atau panjang jangkahayatnya, akan diberkati oleh Allah.s.w.t

No comments: